Saturday, October 30, 2010

Berita Islami: Hamburg wilayah pertama iktiraf Islam

Hamburg tidak lama lagi mungkin menjadi wilayah pertama di Jerman yang mengiktiraf secara rasmi Islam sebagai masyarakat agama dan memberi umat Islam hak perundangan yang sama seperti penganut Kristian dan Yahudi apabila berurusan dengan pentadbiran setempat.

Rundingan secara senyap selama empat tahun mengenai pembinaan masjid, menyediakan tanah perkuburan dan mengajar agama Islam di sekolah awam itu kini hampir tamat.

Ia bertepatan dengan waktu berlakunya perdebatan di Jerman mengenai kedudukan agama Islam dan integrasi pendatang beragama Islam.

Perjanjian nampaknya mungkin dicapai tetapi perdebatan mengenai Islam dan perubahan politik setempat mungkin menjadikan kelulusannya lebih sukar daripada yang dijangka, kata tokoh politik dan pemimpin Islam.

'Adalah penting bagi kami memastikan perjanjian ini menegaskan bahawa kami adalah sebahagian daripada masyarakat di negara ini,' kata Encik Zekeriya Altug, Pengerusi DITIB cawangan Hamburg, sebuah rangkaian masjid Turkey-Jerman yang merupakan salah sebuah pertubuhan Islam terbesar di Jerman.

'Kami sudah hampir mencapai satu perjanjian,' kata Encik Norbert Mueller, seorang mualaf rakyat Jerman yang menjadi anggota Lembaga Schura, sebuah persatuan masjid terbesar di Hamburg.

Sekitar empat juta daripada 82 juta penduduk Jerman beragama Islam dengan sebahagian besar daripada mereka berketurunan Turkey.

Mereka sejak sekian lama dianggap hanya sebagai kaum pendatang, yang satu hari kelak akan kembali ke negara asal mereka.

Tetapi sekarang mereka merupakan kaum minoriti yang mahu diberi hak yang sama seperti orang Yahudi dan Kristian. Perjanjian di Hamburg, bandar kedua terbesar di Jerman, akan menggariskan hak dan tanggungjawab umat Islam, seperti berbincang dengan penduduk kejiranan sebelum membina masjid atau menara. Encik Altug berkata banyak hak sudah pun dibenarkan di bawah pelbagai undang-undang Jerman atau sebagai pengecualian setempat.

'Perjanjian ini akan menggabungkan semua itu dalam satu dokumen,' kata beliau.
Dua wilayah lain iaitu Lower Saxony dan North Rhine-Westphalia juga sedang menimbang untuk mengiktiraf agama Islam. -- Reuters. -buletinonline.net

sumber: http://halaqah.net/v10/index.php?page=487

No comments:

Post a Comment

What say you?